My Add

Monday 15 July 2013

200 terperangkap dalam masjid

 * SEBANYAK 200 orang dipercayai terperangkap di dalam sebuah masjid ketika pertempuran berlaku antara pemberontak dan pasukan tentera di luar Damsyik, semalam. - REUTERS
AMMAN, AHAD, 14 Julai, 2013: Pertempuran antara pemberontak dan tentera menyebabkan kira-kira 200 orang awam terperangkap di dalam sebuah masjid di luar bandar Damsyik.

Perikatan Syria dalam satu kenyataan, hari ini meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran keras kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya segera membebaskan orang awam di Qaboun tersebut.

Kenyataan itu tidak menyatakan sama ada 200 orang tersebut mencari perlindungan di masjid atau sedang bersembahyang apabila pertempuran tercetus.

Perikatan tersebut memberi amaran beribu-ribu orang awam di Qaboun mungkin 'dibunuh' oleh tentera ketika kenderaan berperisai dan tentera memasuki kawasan perumahan di sana.

Dalam pada itu, aktivis Syria berkata, serangan mortar yang dilancarkan di tiga daerah di Damsyik telah menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa yang lain cedera.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata. serangan tersebut berlaku ketika tentera Syria menyerang kem pelarian Palestin Yarmouk di hujung bandar raya itu.

Sementara itu di WASHINGTON, Pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, Israel menyasarkan peluru berpandu antikapal berdekatan Latakia, bandar pelabuhan Syria dalam satu serangan udara pada awal bulan ini.

Akhbar New York Times dalam laman webnya melaporkan, serangan pada 5 Julai lalu menyasarkan sejenis peluru berpandu buatan Rusia dikenali sebagai Yakhont yang dijual kepada kerajaan Syria oleh Moscow.

Bagaimanapun, pegawai itu ti dak memberikan maklumat terperinci berhubung serangan udara tersebut.

Israel sebelum ini berkata, rejim zionis Israel tidak akan campur tangan dalam konflik Syria kecuali bagi menghalang penghantaran senjata.

Serangan berdekatan Latakia itu merupakan serangan udara keempat dilancarkan oleh Israel ke atas Syria pada tahun ini.

The New York Times melaporkan serangan tersebut didedahkan selepas pemberontak Syria menafikan terlibat dalam letupan di Latakia pada 5 Julai lalu. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment