My Add

Tuesday 23 July 2013

2,623 pekebun kecil nikmati durian runtuh RM17.95 juta

 * SHAFIE Apdal menyampaikan cek dividen RISDA kepada Pengarah RISDA Negeri Terengganu, Zakaria Mat Zin sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha KKLW, Dato' Ibrahim Muhamad (kiri), Ketua Pengarah RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Mohamad (tiga dari kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Dato' Mohamat Muda (kanan).
BESUT, ISNIN, 22 Julai, 2013: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya memberi dividen berjumlah RM193.5 juta kepada 16,080 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan 21,314 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,623 pekebun kecil di seluruh Terengganu akan menikmati durian runtuh itu yang bernilai RM17,956,755.

Menurutnya, selain dividen, atas keuntungan yang diperoleh, RISDA turut memberikan zakat RM2.2 juta untuk diagihkan ke seluruh negara dan daripada jumlah itu, sejumlah RM305,461.25 zakat akan diberikan untuk seluruh negeri ini.

Beliau berkata, RISDA turut menyampaikan sumbangan sosial RISDA (SSR) itu sebanyak RM557,000 ke seluruh negara manakala untuk Terengganu sahaja melibatkan RM108,953.04 yang akan diagihkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.

"Saya harap pemberian dividen dan sumbangan zakat serta SSR ini dapat digunakan dengan berhemah bagi membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti," katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Dividen RTBB dan TSK RISDA Negeri Terengganu di Masjid Haji Hussain, Kampung Baharu dekat Kuala Besut hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Mohammad dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Dato' Mohamat Muda.

Mohd Shafie berkata, kerajaan telah meluluskan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah RM500 secara one-off akibat kejatuhan harga getah di pasaran dan pemberian itu sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil getah.

Jelasnya kejatuhan harga komoditi itu memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil getah dan sawit.

"Kita harap harga getah di pasaran dunia akan bertambah baik dengan usaha-usaha akan terus dilakukan oleh RISDA dan kementerian bagi menangani isu ini," katanya.

Ketika ini pekebun kecil getah berupaya mengeluarkan hasil sebanyak 1,604 kilogram per hektar setahun.

Diyakini produktiviti itu boleh ditingkatkan lagi kerana potensi klon sedia ada mampu menghasilkan lebih banyak hasil dan pekebun kecil mestilah mengamalkan amalan pertanian baik atau Good Agricultural Practises (GAP). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment