My Add

Friday 12 July 2013

3 beranak mangsa pembunuhan selamat disemadikan

SIBU, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Tiga beranak yang ditemui mati di kediaman mereka di Taman Perumahan Pulau Li Hua, Jumaat lepas, selamat disemadikan di tanah perkuburan Cina Bukit Aup di sini, pagi ini.

Terdahulu, kira-kira 100 saudara-mara dan rakan memberi penghormatan terakhir di bilik mayat Hospital Sibu.

Antara yang hadir Tiang Soon Tai, anak lelaki mangsa berusia 17 tahun yang terselamat dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail dan pegawainya serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Yap Hoi Liong.

Mayat suri rumah, Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya, Christine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelaki, Victor Tiang Soon Sheng, dua, ditemui di dalam bilik tidur utama rumah mereka kira-kira 10 pagi.

Soon Tai yang terjaga daripada tidur dan menyedari tentang pembunuhan itu, berjaya melarikan diri selepas suspek utama kes itu yang berusia 43 tahun bertindak agresif dan cuba menariknya.

Keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sibu mendapati mangsa mati disebabkan asfiksia atau sesak nafas.

Susulan kejadian itu, anggota keluarga terdekat mangsa yang bekerja sebagai kontraktor, ditahan ketika berehat di dalam keretanya di sebuah stesen minyak di Bintulu pada petang hari kejadian.
Menurut Shafie, sebelum ini suspek ada membuat permohonan untuk menghadiri upacara pengebumian itu tetapi kemudiannya menukar fikiran.

Sementara itu, katanya polis berharap tahanan reman suspek yang berakhir esok dapat dilanjutkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment