My Add

Monday 15 July 2013

3 lelaki ke tali gantung bunuh Bendahari MIC Ipoh Barat

IPOH, ISNIN, `5 Julai, 2013: Tiga lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati mereka bersalah membunuh Bendahari MIC Bahagian Ipoh Barat N. Sindambaram, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng membuat keputusan itu terhadap jurujual A. Manimaran, 24, peniaga S. Saravanan, 29, dan pengawal keselamatan K. Perumal, 31, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

"Setelah meneliti hujahan bertulis, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah," kata Teo dalam penghakimannya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Sindambaram, 68, di rumah beralamat No.759, Jalang Wayang, Buntong, di sini, jam 11.30 malam, antara 11 dan 12 Jan 2009.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebaik keputusan dibacakan suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila anggota keluarga masing-masing menangis dan memeluk tertuduh manakala seorang daripada tertuduh bersuara menyatakan dia tidak bersalah.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib berkata pada 29 Nov 2010, Mahkamah Tinggi yang sama melepaskan mereka tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada April lepas Mahkamah Rayuan memerintahkan kesemua tertuduh membela diri di mahkamah yang sama selepas pendakwaan mengemukakan rayuan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment