My Add

Wednesday 24 July 2013

30,000 JKKK akan diperkasa

Oleh RADHUAN HUSSAIN
 
 * MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan skim bantuan baiki rumah kepada seorang penduduk kampung, Jamal Yusoff (dua dari kanan) di Kuala Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
BESUT, SELASA, 23 Julai, 2013: Kesemua kira-kira 30,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara akan diperkasa dan dijadikan tempat rujukan penting dalam membangunkan rakyat dan negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu wajar memandangkan peranan JKKK ketika ini tidak hanya terbatas kepada soal pembangunan dan keselamatan kampung semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, fungsinya akan lebih menjurus kepada soal pengurusan yang lebih tersusun dan sistematik dalam melahirkan pemimpin berwawasan yang mampu mengubah masa depan negara.

"Di peringkat JKKK di kampung-kampung, kita susun program-program untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan keupayaan mereka dalam mendampingi bukan hanya orang dewasa tetapi golongan muda," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ditemui pemberita ketika mengunjungi rumah penduduk dan menyampaikan sumbangan di Kampung Nangka, Kuala Besut, di sini hari ini.

Mohd. Shafie mengulas pelaksanaan model baharu JKKK bagi memperkasa kepimpinan akar umbi mulai tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kubang Pasu, kelmarin.

Menurut Najib, model baharu itu antara lain menetapkan syarat had umur maksimum yang munasabah bagi individu berkhidmat iaitu tidak lebih 65 tahun.

Mohd. Shafie berkata, usaha memperkasa JKKK itu merupakan landasan dalam membantu memperjelas dasar kerajaan serta program pembangunan yang dilaksana di kawasan luar bandar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment