My Add

Sunday 14 July 2013

80,000 pengguna Sabah, Labuan nikmati rebat bil elektrik setiap bulan

KOTA KINABALU, AHAD, 14 Julai, 2013: Hampir 80,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan layak mendapat rebat elektrik dan dikecualikan daripada membayar bil elektrik setiap bulan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ahmad Fuad Md Kasim, berkata program rebat elektrik bagi penggunaan bulanan bernilai RM20 ke bawah itu diperkenalkan kerajaan sejak 1 Oktober 2009, dan setakat ini, RM38.9 juta sudah dibelanjakan bagi menjayakan program itu.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya premis atau pengguna domestik yang berdaftar sahaja layak untuk menikmati rebat ke atas penggunaan elektrik bernilai RM20 ke bawah yang mana program itu akan diteruskan sehingga penghujung Disember 2013.

Setakat Jun tahun ini, terdapat 412,665 premis/pengguna domestik berdaftar untuk tujuan itu di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata pemilik kediaman yang tidak mempunyai unit penggunaan kilowatt jam (kWj) sebulan seperti rumah kosong atau terbiar tidak layak menikmati rebat ini.

Beliau berkata rebat kerajaan itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung golongan berpendapatan rendah untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik.

Pemberian rebat penggunaan elektrik itu akan dipamerkan di dalam bil bulanan elektrik pengguna, katanya.
Ahmad Fuad berkata pengguna yang layak menerima pelepasan itu tetapi masih menerima bil elektrik adalah dinasihati untuk menyemak jumlah amaun yang perlu dibayar terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment