My Add

Thursday 11 July 2013

ADUN Banggi dilantik Pengerusi Ko-Nelayan yang baru

ADUN Banggi dilantik Pengerusi Ko-Nelayan yang baru
 
KOTA KINABALU, RABU, 10 Julai, 2013: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Banggi, Datuk Abd Mijul Unaini dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) yang baru, menggantikan ADUN Sekong Datuk Samsudin Yahya.

Mijul, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Ko-Nelayan, menerima watikah pelantikan daripada Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Yahya Hussin pada satu majlis penyerahan di pejabatnya di Wisma Pertanian Sabah di Luyang dekat sini.

Tempat Mijul pula diambil alih oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Jun 2013 sehingga 31 Mei 2016.

turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Ujang Sulani dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Datuk Masood Salleh.

Ko-Nelayan adalah satu agensi sosioekonomi kerajaan negeri yang memainkan peranan penting bagi memajukan masyarakat nelayan.

Koperasi itu, antara lain bermatlamat untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat nelayan di Sabah, khususnya yang miskin, memajukan dan membantu dalam penubuhan syarikat-syarikat kerjasama nelayan, meningkatkan pengeluaran perusahaan perikanan dan mempercepatkan kemajuan akuakultur dan menggalakkan cara-cara menangkap ikan yang moden, progresif dan bertaraf perdagangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment