My Add

Tuesday 16 July 2013

Akta Hasutan: Karpal tarik balik dua rayuan

PUTRAJAYA, ISNIN, 15 Julai, 2013: Perbicaraan terhadap peguam Karpal Singh atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melibatkan Sultan Perak, akan diteruskan selepas beliau menarik balik dua rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini.

Pendengaran kes yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan didengar pada Khamis dan Jumaat ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer dengan itu memutuskan untuk membatalkan rayuannya.

Karpal diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo manakala Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin mewakili pihak pendakwaan.

Karpal menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Azlan Shah pada 2009.

Hakim Datuk Azman Abdullah menolak permohonan itu selepas mendapati tiada perlanggaran terhadap Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung perlindungan kesamarataan undang-undang dalam pendakwaan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata, Perkara 145(3) perlembagaan dengan jelasnya memberi kuasa budi bicara kepada Peguam Negara untuk memulakan dan memberhentikan prosiding bagi sesuatu kes jenayah.

Karpal turut menarik balik rayuan berhubung keputusan mahkamah yang sama menolak permohonannya untuk mensapina bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman; dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Peguam itu memohon agar sapina dikeluarkan terhadap Dr. Mahathir, Abu Talib dan Abdul Gani bagi memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan tersebut.

Hakim Azman menolak permohonan Karpal agar sapina dikeluarkan terhadap ketiga-tiganya kerana ia tidak relevan dan keterangan mereka tidak berkaitan dengan intipati pertuduhan yang dihadapinya.

Karpal yang juga Pengerusi DAP didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Azlan Shah di firma guamannya Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Karpal, 72, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak ketika itu boleh dipersoalkan di mahkamah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment