My Add

Friday 19 July 2013

Akta Keharmonian Nasional perlu perincian, penjelasan lanjut

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusaha bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 memerlukan perincian dan kajian lebih mendalam supaya dapat mengekang agenda pihak tertentu mencetuskan suasana huru-hara.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, akta baharu yang akan dibentuk itu nanti diharap dapat diperinci supaya lebih berkesan mencapai objektifnya.

Tambah beliau, kajian dan perincian akta itu perlu mengambil kira aspek imbangan sosial, keselamatan rakyat serta hak asasi manusia.

"Penjelasan lanjut mengenainya perlu diberikan kepada agensi penguatkuasaan terutama polis kerana mereka merupakan golongan penting yang akan menguatkuasakan undang-undang itu nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Akta Keharmonian Nasional tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Menurut Perdana Menteri, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina Raja-raja Melayu atau mempersoal keistimewaan yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Shamrahayu, akta baharu itu diharap dapat memberi didikan dan memperjelas kepada masyarakat yang pelaksanaannya bertujuan menjaga keharmonian kaum serta prinsip-prinsip asas negara seperti Raja Berperlembagaan.

"Persepsi masyarakat sebelum ini terhadap Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan, yang mana mereka melihat akta tersebut sebagai menyekat kebebasan dan diguna pakai hanya untuk tujuan politik," katanya.

Sementara itu, penganalisis undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, kes-kes jenayah siber dan multimedia perlu turut dirangkum di dalam Akta Keharmonian Nasional tersebut.

"Ini termasuk kes melibatkan kumpulan Red Bean Army dan masyarakat awam yang menyalahgunakan ruang siber yang turut menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini," katanya.

Dalam masa sama, Salleh turut mencadangkan nama Akta Keharmonian Nasional itu ditukar kepada nama yang menampakkan ciri-ciri ketegasan.  - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment