My Add

Saturday 13 July 2013

Al-Jefri tercampak dari motosikal

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR

 * ROSNAH Hashim bersama Mohd. Al-Jefri Mohd. Riduan yang diberi rawatan pesakit luar setelah tercampak dari motosikal datuknya dalam satu insiden di Kilometer 40 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, baru-baru ini. - UTUSAN/Jazaly Amry Jaafar
GUA MUSANG, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa menerima 10 jahitan di muka selepas tercampak dari motosikal ditunggangi dengan datuknya yang bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 40, Jalan Gua Musang-Kuala Krai kelmarin.

Kejadian berlaku pukul 10 pagi berhampiran Kilang Sawit Chiku ketika Mohd. Al-Jefri Mohd. Riduan menaiki motosikal bersama datuknya, Mohd. Yadim Yaacob, 58, dan neneknya, Rosnah Hashim, 51.

Ketiga-tiga mereka ketika itu dalam perjalanan dari Bandar Chiku ke Tanah Rancangan Felda Perasu selepas membeli pelbagai barang keperluan untuk berbuka puasa.

Menceritakan semula kejadian itu, Rosnah berkata, sebuah kereta dinaiki tiga beranak dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang di laluan sama menghimpit motosikal ditunggangi suaminya lalu bergesel dengan cermin kereta tersebut.

"Selepas bergesel, cucu makcik tercampak atas jalan. Makcik sendiri tercampak di tepi jalan atas rumput manakala suami makcik terjatuh bersama motosikal.

"Pemandu kereta itu berusia lingkungan 50-an cuba melarikan diri sebaik sahaja melihat kami tiga beranak bergelimpangan terjatuh. Muka cucu makcik pula ketika itu berlumuran darah," katanya ketika ditemui hari ini.

Rosnah berkata, dia segera bangun walaupun lengannya dalam keadaan sakit untuk menghalang kereta itu daripada terus bergerak sebelum meminta pemandunya menghantar cucunya ke hospital.

Katanya, ketika itu tiada pengguna lain melalui kawasan berhampiran untuk dia meminta tolong namun dia bernasib baik pemandu kereta berkenaan tidak melarikan diri dan membantunya.

"Motosikal makcik juga rosak teruk dan terpaksa ditinggalkan di tempat kejadian untuk menyelamatkan nyawa cucu makcik. Pemandu kereta itu memujuk makcik supaya tidak buat laporan polis," katanya yang hanya cedera ringan di lengan berikutan kejadian itu.

Mohd. Al-Jefri menerima lebih 10 jahitan di Hospital Gua Musang manakala datuknya tidak mengalami kecederaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment