My Add

Tuesday 16 July 2013

Alvin, Vivian boleh didakwa bawah Akta Hasutan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, SELASA,, 16 Julai , 2013: Pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mempersenda Ramadan dengan memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam laman Facebook mereka.

Perkara itu dinyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika memberi maklum balas terhadap tindakan biadab pasangan tersebut.

"Bukan sahaja Akta Hasutan, kita ada peruntukan undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sebagainya. Bergantung mana satu undang-undang.

"Tetapi dalam menentukan pertuduhan dibuat, kita kena lihat dari segi undang-undang, fakta dan niat orang itu. Sudah tentu Akta Hasutan dan mereka boleh didakwa. Pertimbangan harus dan akan dibuat (pendakwaan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Jenayah Siber dan Perundangan: Trend Terkini dan Cabaran Pelaksanaan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu beberapa seksyen dan akta berkaitan undang-undang siber perlu dipinda kerana didapati sudah 'lapuk'.

"Ada yang kita perlu masukkan perkara-perkara baharu dan ditingkatkan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment