My Add

Saturday 13 July 2013

Amanat Haji Hadi masih ada di Tok Saboh

BESUT, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Biarpun kira-kira 30 tahun berlalu, kesan Amanat Haji Hadi masih belum terhakis dalam kalangan penduduk kampung Tok Saboh di sini, ekoran wujud dua buah masjid dalam satu kariah dalam jarak kira-kira 130 meter.

Salah sebuah daripada masjid itu dikenali sebagai Masjid Nurul Iman dan dibina kerajaan negeri, namun disebabkan kesan permainan politik kafir-mengkafir, masjid itu diketepi dan dijauhi penyokong Pas.

Pengerusi Masjid Nurul Iman, Baharudin Abdul Rani berkata, masjid itu dibina kerajaan negeri dan didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu.

Tambahnya, walaupun terdapat pemimpin Pas setempat mengajak supaya masjid itu kembali diimarahkan namun penyokong Pas tetap berkeras tidak mahu menggunakan masjid itu sehingga ke hari ini.

Malah, katanya, ahli-ahli Pas membina masjid lain yang dikenali sebagai Masjid Tok Saboh dan menggunakan masjid itu sejak 20 tahun lalu.

"Ketika Pas memerintah Kelantan pada 1999, kami menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut ketika itu, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas sekarang membacakan khutbah Jumaat di sini.

"Tetapi usaha itu tidak memberi sebarang kesan, mungkin ahli Pas kampung ini sudah malu bercampur dengan kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Hari ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membacakan khutbah Jumaat di masjid itu dalam rangka kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Sementara itu, penduduk kampung tersebut, Mohamad Nor Md. Jusoh berkata, biarpun kesan amanat tersebut semakin berkurangan namun penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas masih tidak bercampur dalam kenduri-kendara atau majlis kematian.

"Dahulu ada ahli Pas beranggapan kenduri arwah atau doa selamat mereka tidak memberi sebarang makna atau mendapat pahala sekiranya ahli UMNO datang makan, tetapi sekarang agak lembut sedikit," katanya.

Menurutnya, dia amat berharap akan wujud kembali perpaduan antara penduduk kampung tersebut tanpa rasa syak wasangka disebabkan perbezaan ideologi politik seperti sebelum ini.

Sehubungan itu, dia merayu pemimpin Pas menarik balik amanat mereka sebelum ini bagi memastikan masalah yang timbul sejak lebih 30 tahun lalu terungkai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment