My Add

Sunday 14 July 2013

Amaran kepada peniaga bazar Ramadan

KOTA BHARU, AHAD, 14 Julai, 2013: Jabatan Kesihatan negeri memberi amaran kepada semua peniaga terutama di bazar Ramadan supaya memastikan kebersihan dan keselamatan produk masing-masing bagi mengelak berlaku penyakit berjangkit antaranya demam kepialu, taun dan keracunan makanan.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, peniaga yang didapati gagal menjaga kualiti keselamatan makanan yang dijual akan diarah menutup premis dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Makanan 1985.

Tegas beliau, jabatannya perlu bertegas terhadap masalah itu kerana pengalaman lalu mendapati banyak kes penyakit berjangkit akibat bawaan makanan dan air berlaku setiap kali bulan Ramadan kerana makanan yang dijual tidak selamat.

Jelas beliau, kumpulan makanan yang paling berisiko ialah makanan yang banyak proses penyediaan dan tidak dimasak sepenuhnya seperti kerabu perut, kerabu sotong, rojak mi, rojak buah dan nasi kerabu.

"Air minuman perahan iaitu air tebu dan kacang soya serta kuih muih menggunakan kelapa parut seperti onde-onde dan ulat bulu perlu sentiasa dipastikan tahap kebersihannya kerana terlalu mudah tercemar.

"Begitu juga air minuman bancuhan seperti air bandung, laichi kang dan air jagung. Selain itu, minuman yang menggunakan santan kelapa mentah juga mudah terdedah terutama cendol dan ais kacang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment