My Add

Monday 15 July 2013

Ambil segera tindakan ke atas dua individu hina Islam - Khairy

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO mendesak tindakan tegas dikenakan secepat mungkin ke atas dua individu, Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah mengguris perasaan umat Islam biarpun mereka sudah meminta maaf.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata jika tindakan tidak diambil ke atas kedua-duanya, selepas ini sesiapa sahaja boleh bercakap apa sahaja dan meminta maaf sebagai jalan penyelesaian.

"Saya ingin lihat tindakan diambil ke atas mereka dan ini bukan masanya untuk ambil keterangan. Hendak tunggu apa lagi?

"Sesiapa yang mengguris sensitiviti agama bukan sahaja agama Islam bahkan agama lain perlu dikenakan tindakan," katanya selepas sidang media mengenai Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2013 di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Minggu lalu, Alvin Tan dan Vivian Lee memuat naik gambar ucapan Selamat Berbuka Puasa dengan makanan tidak halal, Bak Kut Teh (sup tulang babi) di Facebook Jumaat lalu.

Tindakan mereka menimbulkan kemarahan dan diselar pelbagai pihak sehingga menyebabkan kedua-duanya dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) di Putrajaya hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia baru-baru ini, Khairy Jamaluddin meminta Wisma Putra menghantar nota protes kepada kerajaan Vatican.
"Ini soal campur tangan asing dalam hal ehwal kita dan pandangan beliau amat tidak membantu," katanya.

Duta berkenaan Biskop Joseph Marino dilaporkan menyokong kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God' dalam kalangan penganut agama Kristian.

Sokongan terbuka biskop itu mendapat tentangan hebat beberapa kumpulan Islam yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sensitif dan menghina umat Islam serta rakyat Malaysia.

Mengulas tindakan pembangkang memfailkan saman ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon deklarasi kesemua 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum Mei lepas batal dan tidak sah, Khairy menyifatkan tindakan berkenaan merupakan usaha terakhir pembangkang yang selama ini gagal membuktikan kononnya wujud penipuan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

"Pembangkang gagal membuktikan dakwaan penipuan itu dan kini mereka hendak bawa dakwaan itu ke mahkamah pula," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment