My Add

Thursday 18 July 2013

Anak, ibu meninggal nahas selang 15 minit

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

 * AHLI keluarga dan sanak-saudara Widayati Abdol Aziz dan Muhammad Shafiq Mohd. Yusob tidak dapat menahan sebak ketika melihat jenazah kedua-dua beranak tersebut di Kampung Serkam Tengah, Merlimau, Jasin. Kedua-dua mangsa maut dalam dua nahas selang 15 minit di KM247.6 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Seremban, malam semalam.
SEREMBAN, RABU, 17 Julai, 2013: Sungguh menyayat hati apabila menyaksikan kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarga tersayang.

Namun apa yang lebih menyedihkan, dalam keadaan kelam-kabut selepas berlaku nahas, satu lagi kemalangan berlaku dan mengorbankan seorang lagi ahli keluarga.

Itulah nasib yang menimpa dua beranak apabila kedua-dua mereka maut selepas terlibat dalam dua kemalangan yang berlaku selang 15 minit di Kilometer 247.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum hentian sebelah Senawang malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam tersebut, Muhammad Shafiq Mohd. Yusob, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas kereta Hyundai Atos dipandu ibunya, Widayati Abdol Aziz, 41, terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya.

Menurut jurucakap polis, rempuhan mengakibatkan kenderaan yang turut dinaiki adik dan abang mangsa, Mohd. Shahir, 11, dan Muhammad Shazwan, 17, berpusing sehingga menyebabkan Muhammad Shafiq tercampak keluar dari kereta itu.

"Kenderaan itu kemudian melintang di kiri lebuh raya. Semua penumpang yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan mereka kemudian berdiri di lorong kecemasan sementara menunggu ambulans.

"Kira-kira 15 minit kemudian, sebuah kereta Proton Persona yang dipandu laju cuba mengelak kereta mangsa namun terbabas ke lorong kecemasan dan merempuh keluarga itu termasuk tiga individu lain yang datang membantu," katanya di sini hari ini.

Menurut jurucakap polis, kemalangan kedua itu menyebabkan Widayati cedera parah dan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar.

"Kakak Widayati iaitu Kamariah, 50, yang bergegas ke lokasi untuk membantu turut cedera parah bersama suaminya, Ismail Na'emat, 55, selepas dirempuh kereta Proton berkenaan.

"Turut mengalami cedera ringan ialah Khairul Hasni Abd Ghani, 40, seorang pengguna lebuh raya yang ketika itu membantu mangsa kemalangan," katanya.

Tambah jurucakap berkenaan, keluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari kampung di Melaka menuju ke rumah mereka di Klang, Selangor.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil membantu siasatan kerana pemandu kereta Proton Persona berwarna hitam bernombor pendaftaran PJW 9537 itu melarikan diri selepas kemalangan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment