My Add

Wednesday 24 July 2013

Angkasa, CUEPACS tak setuju arahan BNM

Oleh ASSIM HASSAN

PETALING JAYA, SELASA, 23 Julai, 2013: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula arahan mengehadkan tempoh pembayaran balik pinjaman perumahan dan persendirian.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kajian semula itu bagi mencari garis panduan supaya tidak menyusahkan peminjam.

Menurut beliau, pekeliling yang dikeluarkan BNM itu memberikan kesan kepada pendapatan Angkasa, sekali gus mengurangkan jumlah peminjam yang terdiri daripada kakitangan awam.

"Kita melihat arahan yang dikeluarkan BNM itu memberikan kesan kepada koperasi kredit.

"Apabila pendapatan kita berkurangan, maka dividen kepada ahli-ahli juga sedikit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 5 Julai lalu, BNM menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah 35 tahun.

Langkah itu bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini yang berada pada paras 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Abdul Fattah berkata, pihaknya turut kesal dengan dakwaan yang mengatakan peminjam koperasi merupakan penyumbang terbesar hutang isi rumah.

Sebaliknya beliau berkata, sehingga Mac 2013 hutang isi rumah bagi peminjam koperasi hanya 6.2 peratus daripada RM784.4 bilion.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut melahirkan rasa kesal terhadap BNM kerana tidak berbincang dengan pihaknya sebelum mengeluarkan pekeliling tersebut.

Katanya, arahan pekeliling itu cenderung memberikan peluang kepada kakitangan awam untuk meminjam daripada ah long.

"Itu yang saya kesal, tiada perbincangan antara BNM dengan kami. Kami membantah arahan ini kerana akan memudaratkan kewangan peminjam terutamanya kakitangan awam," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment