My Add

Wednesday 17 July 2013

Arkib Negara digesa main peranan pupuk kefahaman

 * NAZRI Abdul Aziz (kanan) bersama Daresah Ismail (dua dari kanan) melihat warkah pemasyhuran kemerdekaan sewaktu hadir dalam lawatan kerja dan berbuka puasa di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Arkib Negara Malaysia disaran memainkan peranan utama dalam memastikan kefahaman berkaitan asas-asas yang membentuk negara di masa lalu agar dapat dihebahkan kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah tersebut bertujuan agar generasi muda lebih menghargai apa yang dikecapi oleh negara pada hari ini.

Katanya, menjadi tanggungjawab Arkib bersama agensi lain seperti Jabatan Muzium dan Jabatan Warisan mencorak peranan bagi membentuk pemikiran masyarakat agar menghargai peranan pemimpin terdahulu dalam memastikan negara aman dan damai walau mempunyai pelbagai perbezaan dalam kalangan masyarakat.

"Inilah yang menjadikan negara kita unik dan dipandang tinggi oleh negara luar.

"Melalui keunikan serta perpaduan inilah kita dapat menarik ramai pelancong luar untuk melawat negara pada setiap tahun," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja dan majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Daresah Ismail.

Nazri berkata, pelbagai isu berkaitan pembinaan negara dan bangsa yang sering membelenggu negara seperti berkaitan Perlembagaan dan persempadanan negara perlu diterangkan secara jelas kepada masyarakat.

"Isu-isu yang boleh menggugat perpaduan seperti kontrak sosial dan hak masyarakat berbilang kaum juga perlu disebarkan supaya tiada lagi kekeliruan dalam kalangan rakyat," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak Arkib juga boleh memperkasakan lagi aktiviti menarik pelancong sama ada dari dalam atau luar negara dengan penambahan agenda lawatan ke memorial dan galeri agar maklumat penting berkaitan sejarah pembinaan dan kepimpinan negara dapat ditonjolkan .

"Kemajuan negara tidak mungkin dikecapi tanpa perpaduan dalam kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini.

"Sewajarnya kita menghargai dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah diusahakan oleh generasi dahulu bagi memastikan keamanan dan kemajuan terus dikekalkan untuk generasi akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment