My Add

Friday 19 July 2013

ASEAN lakar banyak kejayaan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 * ABDULLAH Ahmad Badawi yang masih belum pulih sepenuhnya dari radang di bahagian kaki bersalaman dengan tetamu yang hadir dalam majlis perasmian Forum Kepimpinan ASEAN kali Ke-10 di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: ASEAN telah melakar banyak kejayaan membanggakan sepanjang 46 tahun penubuhannya yang dibina melalui prinsip kerjasama, sikap saling menghormati dan mempercayai antara negara-negara anggota.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ASEAN tidak pernah goyah dalam keyakinannya yang percaya hanya melalui prinsip tersebut mampu mencapai keamanan, kekayaan dan kestabilan.

Kata beliau, ASEAN menjadi peneraju kepada amalan semangat inklusif serantau dalam mengukuhkan hubungan bilateral antara negara-negara anggota.

"Walau bagaimanapun, ASEAN turut menghadapi kesukaran bagi memastikan hubungan tersebut terus kukuh menerusi penganjuran dialog dalam kalangan negara-negara anggota yang dikembangkan dalam rangka kerja lebih besar.

"Di samping meningkatkan persefahaman dan kepercayaan, inisiatif ini memberi kebaikan kepada ASEAN apabila mampu mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dan ASEAN-Australia-New Zealand," katanya ketika berucap merasmikan Forum Kepimpinan ASEAN kali Ke-10, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh.

Abdullah berkata, ketika membina hubungan dalam bidang ekonomi, negara-negara anggota ASEAN perlu memastikan prinsip keselamatan politik dan sosiobudaya adalah berjalan seiring kerana ia menjadi asas kepada kejayaan bidang utama itu.

"Komuniti yang berpegang kepada tiga prinsip tersebut akan lebih kuat dan stabil.

"Kejayaan komuniti ASEAN tidak boleh diukur dengan berapa banyak penganjuran majlis pertemuan tetapi bagaimana perubahan positif dapat dilaksanakan kepada 600 juta penduduknya," katanya yang hadir berkerusi roda selepas menjalani rawatan radang kaki baru-baru ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment