My Add

Friday 19 July 2013

ASEAN perlu fokus tiga perkara utama

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ASEAN perlu terus memberi fokus kepada kepentingan generasi muda, pelaburan dalam pembangunan insan serta aktiviti berteraskan kreativiti dan inovasi.

Kata beliau, tiga perkara utama itu merupakan cabaran utama dalam memastikan ASEAN terus kekal bersaing dalam bidang ekonomi di peringkat global.

''Saya pernah memberi penekanan terhadap fokus tersebut bersempena Forum Kepimpinan ASEAN pada tahun lalu yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja.

'Sehubungan itu, saya berharap penganjuran forum ini pada tahun ini yang berlangsung di Kuala Lumpur akan mencapai kejayaan melalui pertukaran pandangan antara peserta yang hadir mewakili kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin muda sekali gus meningkatkan semangat kebersamaan komuniti ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena penganjuran Forum Kepimpinan ASEAN kali ke-10, di sini hari ini.

Forum tahunan itu sebagai platform kepada golongan kerajaan, ahli perniagaan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat membincangkan isu kritikal dan cabaran strategik yang perlu dihadapi ASEAN selain mengintai peluang perniagaan dan pelaburan.

Menurut Perdana Menteri, ASEAN menawarkan banyak peluang perniagaan dan pelaburan kepada sektor swasta dari dalam mahu pun di luar kalangan negara-negara anggota.

''Peluang tersebut adalah cerah dan komuniti perniagaan perlu melihat potensi yang boleh meningkatkan integrasi serantau," katanya yang turut mengalu-alukan kedatangan peserta forum yang dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Najib berkata, kejayaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan berlangsung pada 2015 serta permulaan kepada rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal membuka prospek Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar dunia.

''Negara-negara ASEAN mempunyai masa tiga tahun lagi untuk merealisasikan AEC apabila Malaysia bakal menjadi pengerusinya dan saya percaya perjalanan ke arah itu adalah sangat baik,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment