My Add

Tuesday 23 July 2013

B5 dibekal ke seluruh negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
 
* DOUGLAS Uggah Embas (dua dari kanan) dibantu bekas pelumba F1 negara Alex Yoong (kanan) mengepam biodiesel sawit (B5) ke dalam tangki kereta Peugeot 508 dalam majlis pelancaran penggunaan Biodiesel Sawit Wilayah Selatan di Stesen Shell Port Garage, Pasir Gudang, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU, ISNIN, 22 Julai, 2013: Kerajaan menyasarkan penjualan program pengadunan lima peratus biodiesel sawit (B5) di stesen minyak di seluruh negara menjelang Julai tahun depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, sejak pelancaran B5 di Wilayah Tengah merangkumi Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, sejumlah 113,000 tan biodiesel berasaskan sawit digunakan setiap tahun.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan di Wilayah Selatan meliputi seluruh negeri Johor melibatkan penggunaan sebanyak 37,270 tan biodiesel sawit setahun.

"B5 sudah mula dijual di 83 stesen minyak milik Petronas, Petron, Shell dan BH Petrol di bahagian Utara Johor sejak awal tahun lalu dan bermula hari ini, sebanyak 415 stesen minyak di Johor akan mula menjual produk itu.

"Penggunaan produk bio bahan api ini sekali gus dapat membantu menyumbang kepada penjimatan penggunaan bahan diesel sebanyak 43.14 juta liter setahun," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Penggunaan Biodiesel Sawit Wilayah Selatan di Stesen Shell Port Garage, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Noriah Kasnon; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Choo Yuen May.

Douglas berkata, program B5 itu akan diteruskan ke negeri-negeri di Utara mulai Oktober ini manakala di kawasan Pantai Timur awal tahun depan.

"Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan memulakan program tersebut Julai tahun depan dan anggaran penggunaan bio bahan api itu akan mencecah setengah juta tan setahun," katanya.

Beliau berkata, penggunaan biodiesel sawit sejak 2011 menyumbang kepada peningkatan sebanyak 44 peratus dalam pengeluaran biodiesel sawit iaitu 249,213 tan tahun lalu berbanding 173,220 tan tahun sebelumnya.

Tambahnya, kejayaan itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan serta kestabilan harga minyak sawit mentah melalui peningkatan permintaan produk biodiesel itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment