My Add

Friday 12 July 2013

Bakti sampaikan sumbang raya kepada pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR, jumaat, 12 Julai, 2013: Sebagai tanda terima kasih serta keprihatinan kepada pasukan keselamatan negara, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini membungkus 49,300 kotak makanan untuk pasukan itu sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kesemua kotak makanan bernilai RM468,350 itu akan diserahkan kepada pasukan keselamatan Isnin ini pada majlis di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish dijangka mewakili pasukan masing-masing pada majlis penyerahan itu.

"Ini merupakan acara tahunan Bakti sebagai tanda penghargaan kami kepada pasukan keselamatan negara atas pengorbanan mereka selama ini bekerja tanpa mengira masa dan keadaan," kata Rosmah.

Beliau yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, walaupun sumbangan tidak seberapa, keikhlasan Bakti selama ini terhadap pasukan keselamatan negara dapat diterjemahkan melalui pemberian sumbangan itu.

"Bakti akan sentiasa meneruskan usaha dalam memberi sumbangan kepada pasukan keselamatan negara sedaya termampu bagi mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka kepada agama, bangsa dan negara," katanya berucap pada majlis pembungkusan sumbangan Hari Raya kepada pasukan keselamatan negara di Wisma Bakti di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Kehormat Bakti, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta 60 ahli Bakti dibantu 99 pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta 30 penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Kotak makanan mengandungi rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi impit itu akan diagih kepada pasukan keselamatan yang bertugas di dalam dan luar negara pada Hari Raya dengan 20,000 kotak untuk ATM, 25,000 kepada PDRM dan bakinya 4,300 lagi kepada APMM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment