My Add

Friday 19 July 2013

Bandaraya Kazan melabuhkan tirai Sukan Universiade 2013

 
KAZAN (Russia), KHAMIS, 18 Julai, 2013:: Selepas 7,000 atlet mahasiswa dari seluruh dunia bertarung tenaga dan memerah kudrat selama 12 hari, temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) melabuhkan tirai di sini, malam tadi.

Seramai 45,000 penonton membanjiri Arena Kazan untuk menyaksikan majlis penutupan sukan edisi ke-27 dengan persembahan pelbagai video genre muzik moden berkonsepkan penataan cahaya tiga dimensi (3D).

Majlis bermula dengan tayangan video klip muzik 3D yang menceritakan tentang kehidupan semula jadi masyarakat Russia iaitu bertajuk 'Russia is a planet with human face'.


Persembahan disusuli dengan nyanyian lagu 'We Are Young' disampaikan oleh penyanyi tempatan.

Selepas persembahan tarian dan kebudayaan, majlis disusuli dengan acara kemasukan barisan 162 kontinjen negara bertanding.

Kontinjen Malaysia seramai 114 atlet dan 64 pegawai dengan berpakaian 'Harimau Malaya' memasuki Arena Kazan diketuai Ketua Kontinjen Datuk Dr Kassim Mohd Mansor.

Malaysia sekadar meraih tiga pingat gangsa pada sukan dwitahunan anjuran Persekutuan Sukan Universiti Dunia (FISU) itu dengan kedudukan ke-59 daripada 162 negara yang bertanding.
Semua pingat kontinjen negara disumbangkan oleh skuad badminton negara iaitu tiga pingat gangsa menerusi pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain, beregu lelaki Loh Wei Sheng/Jagdish Singh dan beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean.

Pada edisi 2011 di Shenzen, China, kontinjen negara meraih satu pingat perak dan dua pingat gangsa, kesemuanya menerusi acara terjun.

Acara kemuncak majlis penutupan ialah penyerahan bendera FISU dan bendera Universiade kepada Korea Selatan, selaku tuan rumah bagi edisi 2015.

Universiade edisi ke-28 akan diadakan di Bandaraya Gwanju, Korea Selatan.

Sukan Universiade kali ini menyaksikan kontinjen tuan rumah, Russia, dengan mudah muncul juara keseluruhan pungutan pingat dengan merekodkan 155 pingat emas, 75 pingat perak dan 62 pingat gangsa.

China menduduki tangga kedua dengan carta pungutan pingat 26 emas, 29 perak dan 22 gangsa diikuti Jepun dengan catatan 24-28-32.

Kontinjen Thailand muncul sebagai pasukan terbaik di kalangan negara ASEAN dengan menduduki tempat ke-23 menerusi dua pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment