My Add

Friday 19 July 2013

Bantahan awal lima petisyen  pilihan raya diketahui Selasa

KOTA BHARU. KHAMIS, 18 Julai, 2013: Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 23 Julai ini keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ketereh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas dan Kok Lanas yang dikemukakan Pas bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Hakim Pilihan Raya, Datuk John Louis O'Hara turut menetapkan tarikh yang sama bagi keputusan bantahan awal terhadap petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Tarikh itu dijadualkan setelah beliau selesai mendengar hujah pihak terlibat selain turut menyaksikan kedegilan peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa yang hadir untuk berhujah bagi petisyen Parlimen Ketereh meskipun tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Kehadiran Sivarasa itu mendapat bantahan peguam BN, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dengan alasan hanya peguam Hisham Fauzi yang berhak mewakili Pas berdasarkan Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Meskipun dibantah, Sivarasa tetap berkeras mahu bercakap, namun Hakim O'Hara memutuskan beliau tidak mempunyai kelayakan dan prosiding perlu diteruskan dengan barisan peguam yang sedia ada.

"Peraturan menetapkan pempetisyen perlu menyerahkan notis pelantikan peguam, justeru hanya Hisham yang layak kerana nama anda tiada dalam notis, jadi saya tidak membenarkan anda.

"Sehubungan itu, saya minta anda beralih tempat duduk kerana tidak elok jika anda masih duduk di situ," kata Hakim O'Hara kepada Sivarasa.

Pada 10 Julai lalu, Sivarasa turut tidak dibenarkan mewakili Pas dalam prosiding petisyen Parlimen Machang yang didengar di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Zamani Abdul Rahim atas alasan sama.

Dalam pada itu, prosiding petisyen Parlimen Ketereh sekali lagi menarik tumpuan apabila hakim memberi peluang kepada barisan peguam pempetisyen untuk menyemak semula sama ada ingin meneruskan atau menarik balik petisyen itu terhadap responden pertama, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau memberi peluang tersebut kerana petisyen itu dilihat tidak berkaitan dengan responden pertama, sebaliknya tuduhan yang dikemukakan terarah kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga responden kedua dan ketiga.

''Selepas saya membaca petisyen ini saya dapati semua perkara terarah kepada responden kedua dan ketiga, justeru saya beri lima minit kepada anda kerana jika Mohd. Hafarizam bercakap maka kos akan meningkat," kata Hakim O'Hara.

Hisham kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa petisyen itu akan diteruskan sehingga menimbulkan reaksi kurang senang kepada Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad yang mewakili responden kedua dan ketiga ketika berhujah.

"Semua tuduhan yang dilemparkan kepada SPR adalah melampau dan tidak mempunyai asas, justeru saya harap mahkamah menolak petisyen ini dengan kos yang tinggi," katanya.

Situasi dalam mahkamah turut bertukar ceria ekoran jenaka daripada Hakim O'Hara apabila nasib yang melanda Sivarasa kini beralih pula kepada barisan peguam BN ketika prosiding bantahan awal Pas terhadap petisyen pilihan raya DUN Mengkebang yang dikemukakan BN.

Meskipun sebelum itu Mohd. Hafarizam lantang bercakap bagi pihak BN, namun kali ini peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Pas untuk petisyen tersebut membantah penglibatannya kerana tidak mempunyai locus standi bagi kes itu.

Bantahan tersebut diterima mahkamah menjadikan hanya peguam Mohd. Ilias Mohd. Noor sahaja boleh mewakili BN sebagai pempetisyen bagi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Pada PRU-13, BN menang di kerusi Parlimen Ketereh melalui calonnya, Annuar dan DUN Air Lanas serta DUN Kok lanas masing-masing melalui calon Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Pas pula menang di kerusi DUN Mengkebang serta Manek Urai melalui calonnya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Mohd. Fauzi Abdullah. - UTUSAN












Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130719/ma_02/Bantahan-awal-lima-petisyen-diketahui-Selasa#ixzz2ZRIGkpR1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment