My Add

Friday 19 July 2013

Barang kemas RM3.2 juta lesap

Oleh ALI MAHMOOD
 
 ^ KEDAI emas yang menjadi sasaran rompakan enam lelaki bersenjatakan parang di Mentakab, Pahang, semalam.
TEMERLOH, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Seorang peniaga emas di bandar Mentakab dekat sini kerugian RM3.2 juta apabila kedainya dirompak enam lelaki yang hanya mengambil masa tiga minit untuk melarikan 24 dulang emas.

Kejadian berlaku pukul 9.30 pagi apabila peniaga itu, Wang Jee Lin, 56, isteri dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Lo, 27, baru tiba di kedai emas SSE 916 Sdn. Bhd. untuk memulakan perniagaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Zundin Mahmood berkata, sebaik sahaja Lo membuka pintu kedai, empat lelaki menaiki dua kereta bersenjatakan parang dan bertopeng menyerbu ke arah dia dan ibunya.

"Mereka memaksa Lo dan bapanya membuka pintu utama dan kunci pintu besi. Mangsa tidak melawan sebaliknya hanya menurut arahan kerana takut diapa-apakan.

"Perompak berkenaan kemudian melarikan 24 dulang emas dengan anggaran nilai RM3.2 juta dalam tempoh tiga minit," kata Zundin kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Menurut beliau, polis menerima panggilan mengenai rompakan itu pada pukul 9.40 pagi dan mengesahkan enam lelaki terlibat dalam rompakan nekad tersebut.

Zundin memberitahu, polis percaya dua lagi rakan perompak tersebut menunggu di dalam kereta manakala empat menyerbu masuk bersenjatakan parang dan memakai topeng.

"Penjenayah kemudian melarikan hasil rompakan dengan dua kereta jenis Toyota Camry dan Honda Accord warna putih dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kereta tersebut adalah palsu," katanya.

Sementara itu, Jee Lin memberitahu, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sepanjang dia berniaga di situ sejak 20 tahun lalu.

Tambahnya, lebih merugikan dia baru memasukkan sejumlah barang kemas baharu di kedai untuk persediaan jualan Hari Raya Aidilfitri dengan nilai lebih setengah juta. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment