My Add

Wednesday 17 July 2013

Beberapa seksyen, akta undang-undang siber perlu dipinda

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Beberapa seksyen, peruntukan serta akta melibatkan undang-undang siber perlu dipinda kerana dilihat sudah 'lapuk' dan tidak mampu untuk menangani cabaran serta ancaman siber yang lebih kompleks.

Keperluan tersebut disuarakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang melihat peningkatan jenayah siber semakin serius dan turut memberi kesan kepada perkembangan sosial kanak-kanak.

Menurutnya, pindaan itu bukan hanya menyentuh soal meningkatkan kadar denda atau hukuman sebaliknya memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan memandangkan kebanyakan akta berkenaan dibentang dan diluluskan sekitar 90-an.

''Undang-undang siber kita, contohnya Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah tidak lagi mampu untuk berdepan dengan cabaran dan ancaman siber. Selain daripada kekurangan jenayah yang spesifik dalam jenayah-jenayah lain, peruntukan keterangan dan penerimaan dalam Akta Keterangan 1950 perlu disesuaikan untuk menampung perkembangan teknologi yang sentiasa berubah.

''Dalam undang-undang berkaitan kerjasama antarabangsa seperti Akta Ekstradisi 1992 dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002, ia juga perlu dilaksanakan dengan cara yang saling membantu apabila berdepan dengan jenayah siber,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Jenayah Siber dan Perundangan: Trend Terkini dan Cabaran Pelaksanaan di Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, dekat sini hari ini.

Seminar selama empat hari itu dianjurkan Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Yang turut hadir Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Abdul Gani berkata, pindaan-pindaan itu perlu dilakukan bagi membolehkan peruntukan undang-undang berkaitan jenayah siber selari dengan Konvensyen Budapest.

''Namun, dalam kajian kita nanti, kita akan bincangkan sama ada perlu atau tidak diadakan akta baharu berkaitan jenayah siber. Tetapi bagi pendapat saya, ia tidak perlu, cuma yang perlu hanyalah pindaan-pindaan tertentu.

''Semua pindaan-pindaan ini dijangka siap dan dibentangkan kepada kerajaan sebelum akhir tahun ini selepas kita mengadakan perbincangan dengan banyak pihak,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya akan melihat keperluan mencadangkan kerajaan menerima Konvensyen Budapest dalam menyelaraskan undang-undang siber negara dengan konvensyen berkenaan.

''Tetapi apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu adalah meminda akta-akta atau seksyen berkaitan siber terlebih dahulu sebelum menerima konvensyen berkenaan,'' katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, sebelum pindaan tersebut dilakukan beberapa asas perlu difahami terlebih dahulu.

"Antaranya kefahaman yang jelas berhubung trend terkini jenayah siber, standard antarabangsa yang diguna pakai dalam undang-undang jenayah siber, amalan terbaik dalam menjalankan siasatan serta pengendalian bukti elektronik untuk memenuhi keperluan prosedur keterangan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment