My Add

Monday 15 July 2013

Belia luar bandar perlu rebut peluang GeMPeK

SEMPORNA, AHAD, 14 Julai, 2013: Belia di luar bandar perlu merebut peluang meningkatkan ekonomi mereka dengan memanfaatkan program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPeK).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, program yang mendapat peruntukan tambahan RM10 juta itu akan melaksanakan program Keusahawanan Muda dan Briged Kerja (melakukan pekerjaan di ladang).

"Peruntukan tambahan ini adalah usaha murni kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar khususnya dalam memperkasakan masyarakat belia dengan mewujudkan peluang untuk mereka berkecimpung dalam perladangan dan pertanian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, kementerian beliau melalui agensi-agensi di bawahnya akan juga menggalakkan penglibatan belia wanita melalui program Pekebun Kecil Wanita selain meningkatkan aktiviti sukan dan kebudayaan di luar bandar.

Kelab Generasi Muda Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga akan diaktifkan bagi memastikan keberkesanan aktiviti kelab itu di ladang-ladang.

Turut diteruskan adalah program pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar dan Kampung Abad Ke-2.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada RISDA untuk melaksanakan program GeMPeK.

Mengulas mengenai keberkesanan program-program sebelum ini, Mohd. Shafie berkata, satu badan khas telah dibentuk dan bekerja untuk tujuan itu.

"Badan yang dilantik ini akan memantau perkembangan usahawan atau peserta yang terlibat dalam program-program sebelumnya dan ini akan diteruskan bagi memastikan matlamat dan hala tuju program dicapai sama ada dalam jangka pendek ataupun seterusnya," katanya.

Terdahulu, Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO bahagian itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment