My Add

Saturday 27 July 2013

Belum ada perbincangan nilai semula kadar tarif elektrik di Sabah

TAWAU, sabtu, 27 jULAI, 2013: Belum ada perbincangan dibuat berhubung kajian semula tarif elektrik di Sabah dalam tempoh terdekat meskipun kos penjanaan tenaga meningkat dengan ketara, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, bagaimanapun sekiranya ada penilaian semula tarif dibuat, tarif baru itu akan dipastikan berpatutan dan tidak membebankan pengguna.

"Apa yang kita mahu bincang ialah yang berpatutan. Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa inilah kos penjanaan bagi setiap unit tenaga, berapa kosnya, berapa harus ditanggung pengguna dengan harga munasabah.

"Kalau kita kata kita mahu subsidi, kita perlu menyatakan jumlah yang sesuai untuk disubsidi. Pada masa sama kita tidak mahu rakyat dibebankan secara mendadak dengan tidak berasas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Stesen Janakuasa Kubota di sini hari ini. Stesen berkenaan berupaya menjana 64MW dan beroperasi membekalkan tenaga kepada pengguna sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, pada masa ini hasil kutipan bil elektrik pengguna di Sabah berdasarkan kadar tarif elektrik sedia ada hanya mampu menampung 80 peratus daripada kos penjanaan tenaga di negeri itu.

Sekiranya kerajaan persekutuan tidak memberi subsidi diesel sebanyak RM560 juta setahun, kos yang perlu ditangungung oleh Sabah Electricity Sdn Bhd adalah lebih besar dan pengguna terpaksa membayar dua kali ganda daripada kadar sekarang, katanya.

Mengenai penjanakuasa berkuasa diesel di Sabah yang sudah berusia, Maximus berkata SESB terpaksa menggunakan janakuasa itu untuk memenuhi permintaan selagi alternatif kepada penjana berkenaan belum diwujudkan.

Sehubungan itu, beliau meminta pemegang lesen pengeluaran tenaga boleh diperbaharui supaya berusaha lebih agresif dan bersungguh-sungguh untuk menghasilkan tenaga dan dengan itu janakuasa yang berusia dapat 'direhatkan' secara berperingkat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment