My Add

Saturday 13 July 2013

Belum muktamad sertai TPPA

 * MUSTAPA Mohamed (tengah) bercakap di forum bertajuk 'Perjanjian Perdagangan Antarabangsa: Apa Untuk Malaysia' bersama panel perbincangan yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd. Nizam Mahshar (kanan) di Shah Alam, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Keputusan kerajaan untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah bergantung kepada kesan perjanjian itu kepada dasar perlindungan ekonomi golongan bumiputera.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain faktor tersebut, penyertaan dalam TPPA itu juga tertakluk kepada persetujuan kerajaan-kerajaan negeri dan mematuhi Perlembagaan.

Beliau berkata, kerajaan setakat ini masih belum memuktamadkan sama ada untuk menyertai TPPA atau tidak.

"Kerajaan akan tetap mengekalkan pendirian bagi menjaga kepentingan negara dan hak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam TPPA," katanya di dalam forum khas mengenai TPPA di sini hari ini.

Menteri itu menjadi salah seorang panel forum tersebut untuk mewakili kerajaan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai penyertaan Malaysia dalam rundingan TPPA.

Dalam pada itu, Mustapa mengakui bahawa usaha melanjutkan hak cipta ubat-ubatan yang oleh menyebabkan kos perubatan meningkat dan pembukaan kontrak kerajaan kepada syarikat asing turut dibincangkan di dalam rundingan TPPA.

"Kerajaan turut mendapatkan pandangan pelbagai kementerian berhubung hal ini dan menerima reaksi yang pelbagai. Malah, terdapat satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang bagi menentukan baik buruknya penyertaan Malaysia di dalam TPPA," ujarnya.

Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan negara perdagangan dan melihat TPPA penting kerana ia turut disertai negara pesaing seperti Vietnam. Dikhuatiri negara itu bakal mendapat akses pasaran yang lebih baik berbanding Malaysia menerusi perjanjian itu.

Dijangka, TPPA bakal dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Antara negara terlibat ialah Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan terbaharu Jepun. Pusingan rundingan kali ke-18 akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dari 15 Julai hingga 25 Julai ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment