My Add

Wednesday 17 July 2013

Belum terima draf ganti EO, Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan belum menerima sebarang draf berhubung undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948.

Walau bagaimanapun beliau menjelaskan pihaknya terlibat dalam membincangkan Akta Keharmonian Nasional yang mungkin menggantikan Akta Hasutan.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan tidak menyokong sebarang pembentukan undang-undang baharu yang membenarkan penahanan untuk pencegahan (preventive detention).

''Kita ada berbincang (Akta Keharmonian Nasional), tetapi ia masih dalam bentuk 'lakaran', draf pun belum ada lagi.

''Saya juga tidak akan bersetuju dengan 'preventive detention' (penahanan untuk pencegahan),'' katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Jenayah Siber dan Perundangan: Trend Terkini dan Cabaran Pelaksanaan di Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, dekat sini hari ini.

Seminar selama empat hari itu dianjurkan Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Abdul Gani sebelum itu mengulas mengenai keputusan Kabinet untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional kini dalam proses penggubalan bagi menggantikan akta berkenaan.

Pada 11 Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang antara lain bertujuan mencari mekanisme keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara serta menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

Sejak pemansuhan EO pada 2011, kadar jenayah berat yang berlaku dalam negara termasuk siri pembunuhan bersenjata api sejak kebelakangan ini dikatakan semakin tinggi dan berkemungkinan ada kaitan dengan pembebasan 2,600 tahanan EO dari penjara Simpang Renggam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Gani memberitahu, pihaknya belum pernah melihat sebarang pendakwaan melibatkan bekas tahanan EO. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment