My Add

Friday 19 July 2013

Berhati-hati guna laman sosial: Jailani

KUALA BESUT, JUMAAT, 19 Julai, 2013:: Orang ramai perlu berhati-hati semasa menggunakan laman sosial kerana kerajaan tidak akan bertolak-ansur jika mereka menyentuh sensitiviti masyarakat dan penganut agama di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, dakwaan di mahkamah yang dikenakan terhadap pasangan kontroversi yang mempersendakan bulan Ramadan dan umat Islam melalui laman sosial semalam wajar dijadikan pengajaran.

Jangan sewenang-wenangnya menyalahgunakan Internet, katanya kepada pemberita pada program Bubur Lambuk Perdana di Dewan Orang Ramai Kampung Kayu Kelat di sini, hari ini.

Selain pemberian bubur lambuk, program anjuran Yayasan Felda itu turut mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.

Mengulas pelawaan Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Datuk Husam Musa supaya diadakan debat terbuka antara Menteri Komumikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkaitan isu rakyat Terengganu, Jailani berkata ia tidak perlu dilayan.

"Mereka mahu berdebat dengan menteri sebab mahu keluar televisyen sedangkan kita memang sudah beri peluang menerusi (siaran) selama satu jam setengah pada persidangan Dewan Rakyat," katanya.

Jailani mengingatkan penduduk Kuala Besut supaya membuat pilihan bijak dengan keluar mengundi beramai-ramai pada 24 Julai ini bagi menyokong calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. 

Tengku Zaihan akan berhadapan calon PAS, Endot@Azlan Yusof pada PRK DUN Kuala Besut yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun akibat kanser paru-paru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment