My Add

Saturday 13 July 2013

Bil telefon amah hampir RM18,000

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

SEORANG pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi selama 10 tahun terpaksa akur dengan tawaran akhir syarikat itu dalam mencapai penyelesaian berhubung bil telefon yang digunakan oleh pembantu rumahnya yang mencecah hampir RM18,000 dalam masa dua bulan.

Hor Saw Lee, 40, bersetuju menerima tawaran pengurangan sebanyak 25 peratus daripada jumlah tersebut selepas Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Datuk Zul Hasnan Baharudin memutuskan untuk menolak kes itu sekiranya tidak berjaya diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Zul Hasnan berkata, pihaknya tidak akan memutuskan jumlah tertentu, namun akan menasihatkan pemohon untuk meneruskan tuntutan yang sama di Mahkamah Sivil.

Wakil syarikat tersebut yang ingin dikenali sebagai Ramesh menyatakan, sebelum kes itu dibawa ke TTPM oleh Saw Lee, rundingan telah diadakan olehnya dengan wanita itu dan dia pernah menawarkan potongan sebanyak 35 peratus, namun tidak dipersetujui wanita terbabit.

Setelah dibawa ke tribunal berkenaan, Ramesh mendakwa, dia hanya boleh menawarkan potongan sebanyak 25 peratus.

Saw Lee membawa kes itu ke TTPM dengan harapan dia akan mendapat potongan yang lebih banyak daripada 35 peratus kerana berasa tertipu dengan pakej prabayar yang didaftarkan atas namanya.

Saw Lee mendaftarkan pakej prabayar 'credit limit 100' dengan syarikat telekomunikasi itu enam bulan sebelum itu selepas mendakwa mendapat penjelasan daripada jurujual bahawa panggilan akan disekat apabila mencecah RM100.

Dalam tuntutannya itu, dia mendakwa telefon itu digunakan oleh pembantu rumahnya yang merupakan warga Kemboja untuk membuat panggilan tempatan dan luar negara.

Selepas dua bulan menggunakannya, wanita itu terkejut apabila menerima bil yang terlalu tinggi.

Dia bagaimanapun telah membayar RM9,000 kepada syarikat itu menerusi kad kredit miliknya setelah pembantu rumahnya berjanji akan memulangkan wang tersebut dalam apa jua bentuk.

Terdahulu, Ramesh dalam penjelasannya berkata, pakej tersebut hanya boleh diguna pakai untuk panggilan tempatan dan bukannya panggilan antarabangsa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment