My Add

Wednesday 17 July 2013

Bilangan pelatih PLKN siri 11/2014 ditambah

 * ABDUL Rahim Bakri (tengah) melihat senarai nama bakal Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sambil diperhatikan Ismail Ahmad (kiri) dan Abdul Hadi Awang Kechil di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Bilangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 11/2014 bertambah sebanyak 10,000 orang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 150,000 pelatih yang akan terlibat pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pertambahan jumlah pelatih tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai remaja mengikuti PLKN.

Beliau berkata, kerajaan berharap pemilihan ini akan memberi banyak ruang kepada remaja untuk untuk mempelajari pelbagai perkara dan ilmu berbentuk praktikal yang terdapat di dalam PLKN.

"Ini selaras dengan misi dan visi nasional untuk melahirkan masyarakat khususnya generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme dan berpeluang berintegrasi sesama mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pemilihan Pelatih-Pelatih PLKN Siri 11/2014 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Abdul Rahim berkata, daripada jumlah keseluruhan pelatih PLKN itu, sebanyak 82,500 adalah pelatih lelaki dan 67,500 pelatih perempuan.

"Komposisi kaum pula, bumiputera adalah seramai 90,000 orang, Cina (42,000), India (15,000) dan kaum-kaum lain (3,000).

"Semua peserta dipilih secara rawak daripada sejumlah 526,280 remaja di negara ini yang lahir pada tahun 1996," katanya.

Sehubungan itu, remaja yang lahir pada 1996 boleh menyemak sama ada mereka terpilih mengikuti PLKN pada tahun hadapan menerusi laman web wwww.khidmatnegara.gov.my.

"Mereka juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SEMAK<jarak>Nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang Ops Daulat di Lahad Datu yang dijadikan sub model baharu di dalam modul kenegaraan beliau berkata, peristiwa itu merupakan satu elemen penting bagi menyuntik semangat patriotik. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment