My Add

Tuesday 16 July 2013

BN bantu 160,000 dapat kerja

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
 * KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar (kanan) dan Nazir Hussin Akhtar Husin menunjukkan laman sesawang mengenai Karnival Kerjaya yang akan dijayakan oleh Pemuda Barisan Nasional pada September ini di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/NOOR AZLINA JAAFAR
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Sebanyak 160,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan hasil penganjuran karnival kerjaya, Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair selama dua tahun pada 2011 dan 2012.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan kejayaan membanggakan itu, karnival tersebut diteruskan lagi pada tahun ini dengan menawarkan 30,000 peluang pekerjaan oleh 300 syarikat termasuk 120 perniagaan dalam talian.

Lebih menarik kata beliau, iklan kekosongan jawatan yang akan ditawarkan pada hari karnival itu akan dimuat naik melalui laman sosial Facebook selain menerusi aplikasi bergerak untuk pengguna iTunes, Android dan Blackberry yang disediakan oleh pihak penganjur.

''Mereka boleh menyemak terlebih dahulu kekosongan jawatan yang diminati menerusi kemudahan terbaharu yang disediakan pada penganjuran karnival kali ini.

''Ia sebagai memudahkan pencari pekerjaan untuk hadir pada hari tersebut apabila maklumat-maklumat diperoleh lebih awal,'' katanya pada sidang akhbar di pejabat Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi BN Youth Job Fair 2012 Nazir Hussin Akhtar Husin

Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, kemuncak penganjuran BN Youth Job Fair 2013 akan diadakan di PWTC pada 27 hingga 29 September ini selepas penganjuran di Kedah, Terengganu dan Sabah.

Katanya, karnival tersebut sebagai platform kepada golongan siswazah, graduan dan belia yang sedang mencari pekerjaan atau mahu memperoleh jawatan lebih baik.

''Ini merupakan sumbangan Pemuda BN untuk menggalakkan orang muda mencari kerja atau mengintai peluang menjadi usahawan,'' katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan pakatan pembangkang yang memfailkan petisyen ke mahkamah bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Khairy secara sinis berkata, 'usaha' terakhir pembangkang itu diharap mampu membuka hati mereka agar dapat menerima keputusan.

''Mereka sudah cuba apa sahaja untuk menafikan keputusan pilihan raya lalu, bagaimanapun saya harap mereka dapat terima ketentuan apabila mahkamah membuat keputusan nanti.

''Banyak perkara yang mereka buat sebelum ini tidak konsisten seperti mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat, membentuk kerajaan negeri dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut membuktikan mereka sebenarnya mengiktiraf keputusan PRU-13,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment