My Add

Thursday 11 July 2013

BN bawa barisan terkuat kempen

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

 Mohd. Puad
KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Barisan Nasional (BN) akan menurunkan barisan terkuat kempen dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dapat dipertahankan selain mencipta kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 24 Julai ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hal demikian kerana setelah kematian penyandang kerusi tersebut, Dr. A. Rahman Mokhtar pada bulan lalu, BN kini hanya tinggal 16 kerusi sementara pembangkang kekal dengan 15 kerusi DUN di Terengganu.

Katanya, kerusi DUN Kuala Besut akan menjadi rebutan kedua-dua belah pihak terutama pembangkang yang sudah pasti bercadang untuk merampas kembali negeri itu selepas kehilangannya dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Melihat kepada situasi semasa, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu yakin BN tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut.

''Saya juga yakin pengundi-pengundi di situ memiliki semangat tinggi berdasarkan prestasi UMNO keseluruhannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu yang menunjukkan peningkatan. Sudah tentu mereka akan memastikan kejayaan itu terus dikekalkan di Kuala Besut.

''Keyakinan ini ditambah lagi dengan kredibiliti dan pencapaian yang dimiliki Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang sudah tentu akan memberi kelebihan kepada calon muda DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, kegagalan pakatan pembangkang mempengaruhi rakyat dalam penganjuran perhimpunan haram hanya mencalar imej mereka dan memberi keuntungan politik kepada BN.

''Apa yang mereka 'bisingkan' dalam demonstrasi jalanan itu ternyata tidak benar dan cerita-cerita yang dibangkitkan hanya retorik semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

''Malah, tindakan enggan menerima keputusan pilihan raya (PRU-13) itu menunjukkan sikap sebenar mereka (pakatan pembangkang) yang tidak demokratik,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment