My Add

Friday 12 July 2013

BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari di sini hari ini.

Ia berkata, walaupun permintaan dalam negeri bagi ekonomi sedang pesat membangun kekal sebagai sumber pertumbuhan yang penting, kelemahan yang berterusan dalam persekitaran luar telah mula memberikan kesan kepada aktiviti ekonomi domestik dalam ekonomi ini.

Meskipun keadaan monetari global kekal sangat akomodatif, situasi tidak menentu pasaran kewangan telah meningkat dengan nyata dalam tempoh kebelakangan ini apabila pasaran menilai semula hala tuju dasar, katanya dalam satu kenyataan.


Bagi ekonomi Malaysia, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan di celah-celah keadaan permintaan luar negeri yang terus sederhana.

Ia berkata, bagaimanapun kelemahan yang berterusan dalam sektor luaran mungkin menjejaskan momentum pertumbuhan secara keseluruhan.

Melangkah ke hadapan, penggunaan swasta dijangka kekal stabil, disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan keadaan pasaran pekerja yang stabil.

Bank Negara berkata yang perbelanjaan modal dalam industri berorientasikan dalam negeri dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan akan turut menyokong aktiviti pelaburan.
Ia berkata, inflasi kekal rendah pada 1.6 peratus pada lima bulan pertama tahun ini tetapi dijangka meningkat sederhana pada separuh kedua tahun ini disebabkan oleh faktor bekalan dan faktor kos.

Tekanan harga komoditi dunia juga dijangka dapat dibendung memandangkan prospek pertumbuhan global adalah sederhana.

Bank pusat berkata yang MPC menyifatkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar berdasarkan jangkaan terhadap inflasi dan pertumbuhan.

Selain memantau keadaan dalam negeri, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global serta implikasinya terhadap keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment