My Add

Saturday 13 July 2013

Boleh import ayam dari China

Oleh THOMAS CHONG
 
 * ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd. Hashim Abdullah (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan (tiga dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) MOA, Datuk Raihan Sharif menunjukkan Anugerah Perkhidmatatan Kewangan Inovasi Terbaik yang dimenangi oleh TEKUN Nasional di Karlshure, Jerman, di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
PUTRAJAYA, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membenarkan import bahagian-bahagian ayam dari China berkuat kuasa serta-merta selepas negara itu diisytihar bebas penyakit selesema burung atau H9N7.

Selain itu, penternak ayam tempatan juga telah meningkatkan pengeluaran daripada kira-kira 1.4 juta ekor ayam sehari kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari untuk memenuhi permintaan yang tinggi menjelang perayaan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran untuk menyambung import bahagian ayam dari China bakal mengurangkan kebergantungan terhadap ayam tempatan sekali gus membantu menurunkan harga ayam yang sedang melonjak.

"Malaysia menghentikan import bahagian ayam dari China terutamanya dari wilayah Shandong kira-kira dua bulan lalu selepas berlaku kes selesema burung di negara tersebut dan keadaan itu menyebabkan peniaga lebih bergantung pada bekalan tempatan.

"Namun saya dimaklumkan China sudah bebas daripada wabak H9N7, jadi import boleh disambung serta-merta, bahagian-bahagian ayam ini biasanya digunakan untuk membuat burger atau makanan segera lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas kenaikan harga ayam dan peningkatan pengeluaran hasil ternakan tempatan, Ismail Sabri berkata, permintaan terhadap ayam pada hari biasa sekitar 1.2 juta sehari tetapi melonjak kepada 2.2 juta hingga 2.4 juta ekor sehari menjelang perayaan Aidilfitri.

"Ladang-ladang ternakan biasanya mengeluarkan kira-kira 1.4 hingga 1.5 juta ekor ayam sehari tetapi semasa Ramadan, jumlah pengeluaran telah ditingkatkan ke 2.2 juta hingga 2.4 juta ekor sehari," katanya.

Tambahnya, peningkatan harga makanan untuk ayam turut memberi kesan terhadap kenaikan harga hasil ternakan itu.

"Harga ladang untuk sekilogram ayam ialah RM5.70, harga borong RM6.40 dan harga runcit ialah sebanyak RM8.40," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan harga ayam meningkat mendadak dan dijual pada harga RM8.50 di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, RM9 di Kedah serta RM9.50 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment