My Add

Monday 15 July 2013

Buat siasatan terperinci, kenakan tindakan tegas kepada pihak hina Islam

Nooh Gadot, Yusri Mohamad, Anuar
KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menggesa pihak berkuasa membuat siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pasangan, Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh tertera logo halal.

Penasihatnya, Datuk Nooh Gadot berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh berdiam diri dan membiarkan agama Islam diperlekeh seperti dilakukan pasangan tersebut.

Menurut beliau, pasangan itu serta mana-mana pihak yang didapati bersalah menghina Islam perlu dikenakan tindakan undang-undang tegas supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

“Perbuatan mereka sangat serius dan adalah mustahak untuk pihak berkuasa membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, mencetuskan kemarahan umat Islam selepas mempersenda kedatangan Ramadan dengan memuat naik gambar mereka sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi) yang tertera logo halal di laman sosial baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nooh berkata, pihak berkuasa berkaitan agama perlu menubuhkan pasukan dan jawatankuasa khas bagi memantau penghinaan seperti itu daripada terus berleluasa.

Sementera itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad berkata, tindakan pasangan itu secara jelas mencemari kesucian Islam serta memberi contoh negatif kepada masyarakat luar berkenaan hubungan antara kaum di negara ini.

“Saya harap tindakan undang-undang diambil ke atas pasangan ini walaupun mereka membuat permohonan maaf secara terbuka demi mengelak perbuatan itu dilihat sesetengah pihak sebagai perkara remeh," katanya.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Abd. Manap berkata, pihaknya mengecam perbuatan pasangan tersebut kerana sengaja menimbulkan kontroversi serta tidak mengambil kira sensitiviti kaum di negara ini.

“Dengan meletakkan logo halal pada gambar makanan yang umum tahu tidak halal, seolah-olah cuba menghasut orang Islam menerima makanan tersebut," katanya.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdulllah Zaik Abd. Rahman pula berpendapat, perbuatan menghina Islam itu tidak dilakukan secara ‘spontan’ tetapi sengaja dirancang dengan niat memperlekeh akidah umat Islam.

Tambah beliau, perbuatan itu tidak harus dipandang ringan pihak berkuasa dan tindakan tegas perlu diambil segera sebagai pengajaran kepada pihak lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment