My Add

Wednesday 24 July 2013

Bunuh ibu saudara: Zulfahmi dijel 15 tahun

KOTA BHARU, SELASA, 23 Julai, 2013: Tindakan tidak berhati perut seorang bekas kelindan lori memukul kepala ibu saudaranya menggunakan senduk pengacau gulai kawah sehingga mati selepas menyamun mangsa, menerima padah hari ini apabila dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Raja Mohd. Zulfahmi Raja Zainal Abedin, 27, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian Wan Kelthum Wan Hussain, 68, tahun lalu.

Hakim Mohd. Yusuff Yunos memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula tarikh tangkap pada 5 September 2012 iaitu sehari selepas kejadian.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Wan Kelthum dengan niat hendak menyebabkan kematiannya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Jebak Puyuh, Pasir Puteh antara pukul 11 pagi dan 1 petang, 4 September 2012.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd. Yusuff turut memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, Karma Zubi Shaari, membayar denda RM1,000 atau penjara enam bulan.

Utusan Malaysia pada 5 September tahun lalu melaporkan mengenai seorang guru mengajar al-Quran yang ditemui maut sehari sebelum itu dipercayai dipukul dengan objek keras di kepala sebelum disamun di rumahnya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pergi ke rumah anaknya, Raja Zailah Raja Husin, 40, untuk membuat persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri sebelum pulang semula ke rumahnya kira-kira 10 pagi untuk mengambil sudip dan senduk.

Menurut fakta kes, ketika kejadian tertuduh telah memasuki rumah mangsa melalui tingkap rumah itu yang terbuka dan mengambil sebuah beg milik mangsa yang diletakkan dalam lipatan kain sembahyang di dalam sebuah bilik.

Tertuduh kemudiannya mengambil sejumlah wang di dalam beg itu sebelum meletakkannya semula ke tempat asal namun ketika itu tertuduh melihat mangsa telah berada di dalam rumah itu sambil memegang senduk tersebut.

Mangsa yang menyedari ada seseorang berada di dalam bilik itu segera melakukan pemeriksaan dan ternampak Raja Mohd. Zulfahmi namun tertuduh kemudiannya bertindak agresif merampas senduk yang berada di tangan mangsa untuk memukulnya.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh kemudiannya merentap rantai dan kesemua barang kemas di badan mangsa sebelum menghilangkan diri namun berjaya ditahan polis keesokannya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment