My Add

Tuesday 23 July 2013

Buru PATI dalam skala besar

Oleh HASHNAN ABDULLAH
 
 * AHMAD Zahid Hamidi sambil diiringi Alias Ahmad (kiri) bersalaman dengan warga Imigresen sewaktu hadir pada majlis berbuka puasa bersama warga Jabatan Imigresen, di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, ISNIN, 22 Julai, 2013: Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) secara besar-besaran di seluruh negara selepas sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan memberi tumpuan bukan hanya di laluan 'tikus' tetapi di tempat kerja seperti pusat hiburan, restoran, ladang dan kilang haram seluruh negara.

"Kami akan melaksanakan operasi itu secara bersepadu dan berterusan bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Jalinan kerjasama sedemikian perlu bagi memastikan operasi mengesan PATI itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Menyentuh Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P), Ahmad Zahid berkata, sejak program itu dimulakan pada Oktober 2011 hingga 18 Julai lalu, sebanyak 41,647 PATI berjaya ditahan.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 1,000 majikan ditahan dengan 316 orang daripadanya didakwa di mahkamah manakala 46 orang lagi dipenjara.

"Di bawah program 6P, sebanyak 1.3 juta PATI telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, kira-kira 500,000 PATI telah diputihkan manakala 330,000 telah kembali ke negara masing-masing secara sukarela," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment