My Add

Saturday 13 July 2013

CAP desak kawal ketat jualan steroid

Oleh ZABRY MOHAMAD

PULAU PINANG, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengawal ketat penjualan steroid yang dilakukan tanpa pengawasan dan penggunaannya tanpa preskripsi doktor bagi mengelak kemudaratan terhadap kesihatan pengguna.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, penggunaan steroid tanpa disedari boleh menyebabkan penyakit darah tinggi, masalah hati dan kemandulan.

Bagi wanita pula jelasnya, penggunaan steroid mampu mengubah bentuk fizikal, tumbuh misai dan bulu kaki selain suara menjadi garau.

"Pengambilan steroid tanpa preskripsi doktor dan pengedaran sewenang-wenangnya di pusat kecergasan komersial dan pusat kecergasan rakyat menunjukkan percanggahan nyata iaitu nampak sihat dalam sakit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas dalam Utusan Malaysia baru-baru ini yang melaporkan lebih 18,000 orang kebanyakannya belia terdedah kepada ancaman kesihatan serius termasuk boleh membawa kematian gara-gara penggunaan steroid hanya kerana hendak tampil menarik dan berotot.

Lebih malang sebahagian besar daripada mereka langsung tidak menyedari kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu, apatah lagi tanpa terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor.

S.M. Mohamed memberitahu, beliau percaya untuk mendapatkan bentuk tubuh serta keyakinan diri yang diimpikan boleh dicapai melalui cara lebih sihat, lestari dan tidak memberi bebanan kewangan kepada pengguna.

Menurutnya, bersenam bersama teman di padang dan kawasan perumahan, bercucuk tanam di sekitar rumah, mengamalkan pemakanan seimbang dan memberi nutrien kepada tubuh merupakan alternatif yang lebih menyihatkan.

"CAP ingin sekali mempersoalkan definisi kecantikan dan keyakinan diri daripada kaca mata masyarakat masa kini.

"Adakah gaya hidup kini melihat kecantikan dan keyakinan diri itu hanya suatu bentuk komoditi, fizikal dan material semata-mata?

"Hal ini kian meruncing apabila masyarakat mengambil jalan pintas untuk kekal menarik dengan menggunakan steroid sebagai tambahan kepada rejim kecergasan di pusat kecergasan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment