My Add

Wednesday 10 July 2013

CASD tingkat kecekapan pakar jantung

Oleh NURUL AZWA HARIS
 
 * RAHMITA Wirza Rahmat (lima dari kanan) bersama ahli kumpulannya bergambar bersama pingat dan sijil yang mereka peroleh pada sidang akhbar di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM, di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Pelaksanaan Projek Sistem Bersepadu Untuk Pakar Bedah Jantung (CASD) akan memudahkan pengurusan dokumentasi klinikal di hospital serta meningkatkan kecekapan pakar jantung melaksanakan penyelidikan dan diagnosis.

Ketua projek tersebut, Prof. Madya Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat berkata, sistem komputer perubatan itu juga dibina berdasarkan kesesuaian tahap kesihatan masyarakat Malaysia mengikut kriteria pemakanan serta cara hidup mereka.

Menurut beliau, hal tersebut tidak terdapat dalam sistem sedia ada di hospital kerajaan dan swasta yang lebih mengikut budaya masyarakat luar negara dan hanya digunakan untuk tujuan pentadbiran.

''Pakar jantung kebiasaannya banyak bergantung kepada maklumat klinikal pesakit untuk membuat diagnosis dan pembedahan, jadi tanpa sistem yang sistematik mereka selalu berhadapan masalah kekurangan butir-butir yang diperlukan.

''Dengan menggunakan CASD, pakar jantung boleh bergantung kepada data yang dimasukkan ke sistem pusat yang mengandungi keterangan lengkap pesakit antaranya laporan pemeriksaan makmal, ubat-ubatan yang diambil, dan pemeriksaan anestesia (ubat bius)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Projek hasil kajian anak tempatan dari UPM yang turut mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Institut Jantung Negara (IJN) itu, menggunakan kepakaran 18 orang pensyarah dalam bidang sains komputer serta kesihatan.

Sistem itu mula dibina pada 2006 dan pernah menerima pengiktirafan dalam Anugerah Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-24 (ITEX 2013) pada Mei lalu.

Sistem yang bakal dipasarkan akhir tahun ini tersebut mengandungi beberapa kriteria canggih antaranya paparan maklumat bervisual, laporan pintar dan sistem amaran yang berkesan.

Menurut Rahmita, CASD juga mampu membantu meringankan beban jururawat untuk memasukkan maklumat tentang pesakit dengan lebih mudah dan tepat secara digital.

Malah beliau berkata, sistem itu juga mampu membantu doktor pakar baharu membuat penyelidikan tentang pesakit tanpa sebarang masalah kekusutan dan pertindihan data.

''CASD diyakini mampu menjadi sebuah infrastruktur baharu kepada pusat-pusat kesihatan negara dalam usaha meningkatkan pembangunan sistem klinikal untuk kesejahteraan masyarakat setempat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment