My Add

Friday 12 July 2013

Definisi baharu PKS tambah bilangan firma - PM

PUTRAJAYA, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan definisi baharu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dijangka menambah bilangan firma PKS dalam negara bagi memudahkan transformasi negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, definisi baharu ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

Beliau berkata, Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan hari ini telah meluluskan cadangan untuk menaikkan had kelayakan paras ambang bagi jualan tahunan dan bilangan pekerja bagi semua sektor ekonomi.

Bagi sektor pembuatan, beliau berkata, PKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta (kurang RM25 juta pada masa ini atau bilangan pekerja tidak melebihi 200 pekerja (kurang daripada 150 pekerja pada masa ini).

Bagi sektor perkhidmatan, beliau berkata, nilai ambang juga dinaikkan iaitu PKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta (kurang daripada RM5 juta pada masa kini) atau bilangan pekerja tidak melebihi 75 pekerja (kurang daripada 50 pekerja pada masa kini).

Di bawah definisi baharu, Najib berkata, perusahaan mikro merupakan firma yang mempunyai jualan tahunan kurang daripada RM300,000 atau pekerja kurang daripada lima orang.

"Kajian semula ini adalah tepat pada masanya memandangkan perubahan ekonomi di mana melalui definisi baharu ini, bererti jumlah firma yang diklasifikasikan sebagai PKS akan bertambah berikutan takrifan semula ini." "Berikutan definisi baharu ini, jumlah PKS dijangka meningkat daripada 97.3 peratus pada masa ini kepada 98.5 peratus," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang Ke-14 bersama ahli-ahli daripada 16 kementerian dan agensi, termasuk dari Sabah dan Sarawak di Bangunan Perdana Putra di sini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.

Sementara itu, Najib berkata, Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan turut membincangkan 'breakout strategy' untuk perusahaan mikro yang akan diperhalusi dengan lebih lanjut untuk memberi insentif dan galakan untuk meningkatkan produktiviti sektor itu.

Beliau berkata, majlis itu juga membincangkan kertas cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan enam pusat penjaja bagi diberi nafas baharu.

Beliau berkata, enam pusat penjaja itu ialah Pusat Komersil Komuniti Bandar Tun Razak, Pusat Penjaja Jalan Usahawan, Medan Selera Taman Maluri, Medan Selera Taman Setiawangsa, Medan Selera Damai dan Medan Selera Mega.

"Kita telah menetapkan pendekatan baharu untuk memaparkan satu model yang lebih baik berdasarkan konsep pembangunan yang seperti mini Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan terdapat Kedai Rakyat 1Malaysia.

"Kita juga memutuskan untuk mendapatkan kerjasama strategik dengan syarikat swasta supaya rupa bentuk pusat penjaja, tahap kebersihan dan ciri-ciri lain dapat dimasukkan dalam bentuk baru pusat penjaja itu.

Dengan ini, pusat penjaja itu mempunyai daya tarikan kukuh berbanding dahulu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment