My Add

Sunday 28 July 2013

Demonstrasi bantah kerajaan Tunisia

 * PENYOKONG parti pemerintah pergerakan Islam Ennahda mengibarkan bendera Tunisia sambil membawa gambar tokoh politik Mohamed Brahmi yang dibunuh semasa mengadakan demonstrasi menyokong kerajaan di Tunis, kelmarin. - REUTERS
TUNIS, SABTU, 27 Julai, 2013: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan terbunuh dalam bantahan besar-besaran semalam, yang diadakan di seluruh Tunisia masuk hari kedua, bagi membantah pembunuhan seorang tokoh pembangkang berfahaman sekular.

Beribu-ribu penyokong parti sekular mengadakan tunjuk perasaan di jalanan bagi mendesak kerajaan yang dipimpin parti Islam, dibubarkan ekoran pembunuhan Mohamed Brahmi, seorang anggota Parti Barisan Popular.

Beliau merupakan tokoh Parti Barisan Popular yang kedua mati dibunuh pada tahun ini.

Februari lalu, seorang lagi pemimpin Parti Barisan Popular, Chokri Belaid ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali.

Ketegangan memuncak apabila beribu-ribu penyokong parti Islam turut mengadakan demonstrasi, semalam bagi menyokong kerajaan.

Bantahan yang diadakan oleh kedua-dua kumpulan bertentangan itu menyebabkan kedai-kedai dan bank terpaksa ditutup, manakala kesemua penerbangan dibatalkan.

Jurang antara parti Islam dan sekular semakin meluas sejak bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan pada 2011 ekoran kebangkitan rakyat yang pertama di negara Arab ini.

Dalam pada itu, seramai 42 anggota parti pembangkang mengumumkan peletakan jawatan daripada 217 kerusi Majlis Perlembagaan, lewat semalam sebagai membantah pembunuhan Brahmi.

Setakat ini, pihak berkuasa Tunisia mengenal pasti 14 suspek daripada pergerakan Salafis disyaki terbabit dalam pembunuhan Belaid dan tidak menolak kemungkinan suspek yang sama membunuh Brahmi. - REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment