My Add

Tuesday 16 July 2013

'Dihalau' pemaju menjelang Syawal

Oleh ZABRY MOHAMAD
 
 * PEMANDANGAN kawasan perumahan di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
PULAU PINANG, ISNIN, 15 Julai, 2013: Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) kesal dengan tindakan UDA Holdings Berhad (UDA) yang tergamak menyerahkan notis kepada 11 keluarga di Kampung Tanjung Tokong di sini supaya mengosongkan kediaman masing-masing pada bulan Ramadan.

Presiden Pemenang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff (gambar) menyifatkan tindakan tersebut terlalu keras meskipun isu berkenaan tertangguh sejak sekian lama.

Menurut beliau, sepatutnya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini penduduk terbabit menyambutnya dengan rasa gembira dan bersyukur, bukan dengan linangan air mata kerana terpaksa meninggalkan kampung yang telah diduduki sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

"Tidak adil dan tidak wajar UDA bertindak sedemikian. Terlalu keras tindakan UDA meskipun isu ini telah lama berlarutan kerana perkara ini berlaku pada bulan puasa," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Minggu lalu, sebanyak 11 keluarga di Kampung Tanjung Tokong menerima notis daripada UDA mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing atau berdepan dengan tindakan mahkamah pada 22 Julai ini.

Bekas Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini pernah menasihatkan segelintir penduduk kampung tersebut yang masih enggan berpindah supaya akur dengan permintaan pihaknya agar projek pembangunan yang dirancang dapat dijalankan secepat mungkin.

Katanya, sudah hampir 40 tahun UDA merancang membangunkan kawasan Kampung Tanjung Tokong selepas dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Pusat untuk menyusun semula masyarakat di situ sejak 1972.

Namun, usaha itu tersekat ekoran tindakan segelintir penduduk yang enggan berpindah dan meminta perkara melebihi syarat.

Mohd. Yussof menambah, UDA yang dipertanggungjawab sebagai badan amanah untuk menjaga kepentingan orang Melayu di kawasan bandar sepatutnya lebih sensitif dalam perkara itu.

"Saya minta UDA tarik balik notis itu dan berunding semula dengan penduduk terbabit. Kita bukan menentang pembangunan tetapi janganlah sampai identiti warisan Melayu terhakis sama sekali," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment