My Add

Wednesday 17 July 2013

Dua diserang lapan samseng

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

 
* AHMAD Hiswan Ahmad Hassan Safri menunjukkan kesan kecederaan di tapak tangannya selepas diserang samseng ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN, SELASA, 16 Julai, 2013: Dua pekerja sebuah syarikat mengorek pasir cedera parah selepas diserang sekumpulan samseng bersenjatakan parang di sebuah tapak projek mendalamkan sungai dekat Sungai Gadut di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Mohd. Yussri Rahim, 28, retak tulang lengan kiri selain bengkak di muka manakala rakannya, Ahmad Hiswan Ahmad Hassan Safri, 26, parah di tapak tangan.

Menurut Mohd. Yussri, ketika kejadian, dia bersama rakannya itu baharu hendak memulakan operasi hari pertama di tapak berkenaan.

"Tiba-tiba semasa saya sedang sibuk bekerja bersama Ahmad Hiswan di hadapan tapak projek, kami didatangi lapan lelaki bermotosikal lalu mengugut kami supaya membayar wang perlindungan jika tidak mahu dicederakan.

"Saya menjelaskan kami hanyalah pekerja dan mereka kemudian beredar, namun tidak lama selepas itu kumpulan tersebut datang kembali dengan parang dan terus menyerang kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di wad rawatan Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), di sini hari ini.

Jelas beliau, berlaku pergelutan selama 25 minit antara mereka berdua dan kumpulan tersebut sehingga mengakibatkan mukanya dihiris parang selain retak tangan kiri.

"Mujur Ahmad Hiswan ada ketika itu yang banyak membantu, namun tapak tangannya turut terbelah akibat menahan tetakan parang," katanya yang akan menjalani pembedahan tangan hari ini.

Ahmad Hiswan memberitahu, kumpulan samseng tersebut kemudian beredar tetapi pihaknya bimbang suspek akan kembali untuk membalas dendam.

"Berikutan itu, kami membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat kumpulan tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment