My Add

Thursday 18 July 2013

Ekonomi domestik kukuh

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Standard Chartered Bank (Stanchart) menjangka pertumbuhan domestik akan terus menyokong ekonomi Malaysia ketika persekitaran luar negara terus tidak menggalakkan bagi pertumbuhan eksport.

Stanchart berkata, pertumbuhan domestik yang kukuh terus meredakan kebimbangan tentang pertumbuhan eksport yang lemah, yang susut 2.7 peratus tahun ke tahun dalam empat bulan pertama tahun ini.

Ia sama seperti penguncupan 2.3 peratus dalam suku keempat tahun lepas, akibat penyusutan permintaan bagi elektronik dan harga komoditi.

"Pertumbuhan eksport yang lembap dan pertumbuhan import yang kukuh berkemungkinan mengurangkan lebihan akaun semasa pada 2013.

"Kami menurunkan ramalan lebihan akaun semasa kami kepada 4.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2013 (daripada lapan peratus sebelumnya) dan tujuh peratus pada 2014 (daripada 10)," katanya dalam penyelidikan global 'Standard Chartered Asia Focus.'

Ia berkata, eksport berkemungkinan kekal lemah tetapi boleh beransur-ansur meningkat dalam bulan-bulan akan datang, berikutan keyakinan bahawa harga minyak sawit akan mula meningkat hingga ke akhir tahun ini, dengan dibantu oleh penilaian terlalu rendah sekarang dan peningkatan permintaan bermusim dari China dan India.

Mengenai import, Stanchart berkata pertumbuhan import negara ini berkemungkinan terus terikat kepada asas-asas domestik yang kukuh.

Ia berkata, pertumbuhan import melonjak kepada 7.1 peratus tahun ke tahun dalam empat bulan pertama tahun ini daripada 0.9 peratus dalam suku keempat tahun lepas.

"Kami jangka ia akan terus kukuh, didorong oleh permintaan berterusan bagi barangan pengguna, modal dan perantara.

"Pemulihan pertumbuhan eksport akan menjejaskan ramalan pertumbuhan KDNK kami, iaitu 4.7 peratus bagi 2013, yang lebih rendah daripada anggaran kerajaan sebanyak lima hingga enam peratus," katanya.

Sementara itu, bank itu menjangkakan peningkatan inflasi yang kecil dan beransur-ansur kepada 2.1 peratus tahun ini selepas mencatatkan paras purata 1.6 peratus tahun ke tahun dalam empat bulan pertama tahun ini.

Bank ini mengekalkan ramalannya bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar pinjaman semalam sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada November.

"Kami menganggap ini sebagai langkah persediaan memandangkan kami menjangkakan prestasi yang lebih kukuh dalam enam bulan kedua 2013 dan 2014 serta ekonomi domestik yang teguh," katanya.

Namun demikian, bank itu menjangka BNM akan mengekalkan kadar sedia ada memandangkan ketidakpastian pasaran luar negara, sejajar dengan kenyataan dasar monetari bank pusat itu yang dikeluarkan pada 9 Mei.

"Bank pusat menyifatkan pendirian neutralnya sekarang sebagai wajar, kerana momentum pertumbuhan global terus 'sederhana' dan inflasi 'rendah'.

BNM juga menjangka tekanan harga komoditi global terus 'terbatas', katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment