My Add

Thursday 11 July 2013

Empat warga Indonesia maut

Oleh ZAAIN ZIN
 
 * KEADAAN MPV jenis Toyota Innova dan lori terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei, Sri Aman, Sarawak, semalam. - Gambar ihsan Sin Chew
SRI AMAN, RABU, 10 Julai, 2013: Empat warga Indonesia maut dalam keadaan ngeri setelah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan 10 tan sebelum MPV itu meletup di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei dekat sini pagi ini.

Dalam nahas yang berlaku pukul 10.25 pagi itu, tiga daripada mereka termasuk seorang wanita hamil rentung akibat terperangkap dalam MPV jenis Toyota Innova yang terbakar. Kesemuanya sehingga kini masih gagal dikenal pasti identiti.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga pemandu MPV berkenaan, Tinus Salleh, 45, mati di tempat kejadian setelah kepalanya pecah akibat tercampak keluar beberapa meter daripada kenderaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohamad memberitahu, sehingga kini, pihaknya mengalami kesukaran mengenal pasti jantina dua lagi mangsa kerana mayat mereka sudah rentung.

"Siasatan awal mendapati Toyota Innova dipandu Tinus yang menghala ke Betong hilang kawalan lalu terbabas sebelum bertembung dengan lori tanpa muatan yang datang dari arah bertentangan.

"Rempuhan kuat itu mengakibatkan MPV berkenaan terperosok di bawah lori sebelum meletup," katanya.

Menurut Mat Jusoh, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

"Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat manakala pemandu lori serta dua orang kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment