My Add

Wednesday 10 July 2013

EXIM Bank biaya projek hidro di Indonesia

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) hari ini menandatangani perjanjian kemudahan AS$11.9 juta dengan PT Great Colour Energy bagi pembangunan dan pembinaan loji janakuasa hidro mini di Indonesia.

Melalui perjanjian berkenaan, EXIM Bank akan membiayai sebahagian pembangunan projek di Sungai Bungin, Kabupaten Enrekang di Sulawesi Selatan dengan kapasiti permulaan lima mega watt.

"Pembiayaan AS$11.9 juta itu yang merupakan pinjaman bertempoh 12 tahun di bawah Projek Pembiayaan-i Seberang Laut EXIM, meliputi sehingga 75 peratus daripada kos projek dengan jumlah kos pembangunan sebanyak AS$15 juta," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Apabila siap projek itu, PT Great Colour Energy, unit Great Colour Group milik syarikat Malaysia, akan memulakan fasa kedua projek itu dengan tambahan 5 MW.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia, Datuk Adissadikin Ali dan Pengarah Presiden PT Great Colour Energy, Khairul Nizam Tajul Hasnan.

Projek berkenaan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemampuan domestik dengan menyediakan tenaga mampu milik dan mencukupi di Sulawesi Selatan.

"Projek ini merupakan sebahagian skim pembiayaan tanggungjawab kami untuk membantu mengurangkan pelepasan karbon dunia dan EXIM Bank berbangga menjadi sebahagian projek ini," kata Khairul.

Pada Mei, bank menandatangani perjanjian serupa bagi loji janakuasa hidro juga di Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment