My Add

Wednesday 17 July 2013

Gagal seludup mercun waktu berbuka puasa

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

 * SHAHIDAN Ladin menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disembunyikan di bahagian bonet sebuah kereta yang dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand dalam sekatan jalan di Bukit Kayu Hitam, semalam.
KUBANG PASU, SELASA, 16 Julai, 2013: Taktik dua lelaki mengambil kesempatan waktu berbuka puasa untuk menyeludup masuk mercun dan bunga api gagal selepas mereka diberkas anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dalam dua sekatan jalan raya di sini malam tadi.

Suspek pertama berusia 29 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Naza Suria ditahan di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Changlun, kira-kira pukul 8 malam.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Supritendan Shahidan Ladin berkata, hasil pemeriksaan menemukan barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM500 disorokkan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang.

Katanya, suspek kedua berusia 56 tahun pula ditahan ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

"Polis menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM300 disembunyikan di dalam bonet dan but kenderaan tersebut yang ditutup dengan alat pertukangan.

"Turut ditemukan adalah 30 bungkus tepung beras dan 75 kilogram beras pulut bernilai RM300. Jumlah rampasan kedua-dua kes itu termasuk dua buah kereta terbabit bernilai lebih RM36,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Shahidan, kedua-dua suspek yang dipercayai mahu menjual barangan itu secara kecil-kecilan cuba mengambil kesempatan menyeludup ketika waktu berbuka puasa kerana menyangka anggotanya tidak bertugas tetapi sebaliknya kegiatan mereka berjaya dihidu penguat kuasa.

"Kes itu dirujuk kepada pihak Kastam Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam kes berasingan, Shahidan berkata, anggotanya merampas 500 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran bernilai kira-kira RM950 di lokasi sama pada pukul 3.30 petang semalam.

Katanya, bahan api itu ditemui dalam tangki tambahan sebuah trak pikap yang dipandu seorang lelaki Thailand berusia 31 tahun dan hasil rampasan termasuk kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM40,000.

"Suspek ditahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," kata beliau dan memberitahu, kes diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Cawangan Kubang Pasu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment