My Add

Sunday 14 July 2013

GeMPeK langkah proaktif RISDA - Shafie Apdal

PEKAN, SABTU, 13 Julai, 2013l RISDA perlu melaksanakan pelbagai usaha untuk meremajakan sektor pekebun kecil dengan penglibatan golongan muda sebagai pelapis bagi memodenkan industri getah negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu perlu kerana antara isu yang dihadapi oleh industri getah tempatan kini adalah umur pekebun kecil secara puratanya lebih daripada 55 tahun.

"Kita perlu ambil tindakan segera untuk menarik minat generasi muda menyertai industri getah dan sawit supaya dapat mengambil alih dan mengusahakan kebun-kebun ibu bapa mereka.

"Syabas dan tahniah kepada RISDA yang telah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan Kelab Generasi Muda RISDA dan program GeMPeK yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini," katanya pada majlis penyampaian dividen RISDA dan pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPeK) Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Zainal Abidin Osman.

Menurutnya, generasi muda RISDA juga telah dibimbing dan dilatih dari segi teknikal, ilmu pengetahuan dan kemahiran agar menjadi pelapis yang mampu melonjakkan lagi sektor pertanian dalam negara.

Beliau berkata, usaha-usaha untuk merencanakan agenda khas ke arah memantapkan pemikiran dan potensi generasi muda juga sedang diteruskan.

"Di sini saya suka mengambil peluang menyeru kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian bagi memastikan industri getah dan sawit negara terus berkembang pesat," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sejumlah RM193.5 juta dikeluarkan oleh RISDA untuk membayar dividen bagi tahun 2012.

Pembayaran itu melibatkan 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) dan 21,314 peserta Tanam Semula Komersial (TSK) di seluruh negara.

Beliau berkata, konsep RTBB adalah salah satu usaha terbaik RISDA bagi membantu golongan pekebun kecil yang mempunyai tanah memiliki saham melalui hak tanah baru dalam ladang berkenaan.

"Dengan cara ini, mereka (peserta RISDA) akan memperoleh pendapatan tambahan melalui dividen hasil keuntungan saham dalam aktiviti perladangan.

"Ini adalah salah satu usaha berterusan kerajaan untuk memastikan semua rakyat negara ini terutama pekebun kecil mendapat faedah dan nikmat daripada kemakmuran negara," katanya.

Mohd Shafie berkata, harga getah memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil terutama mereka yang memiliki keluasan kebun yang kecil dan bergantung sepenuhnya kepada getah dan sawit sebagai sumber pendapatan.

Katanya, adalah diharapkan harga getah di pasaran dunia akan bertambah baik supaya pekebun kecil tidak terjejas dengan keadaan tersebut.

"Pihak kementerian dan RISDA akan berusaha bagi menangani isu harga ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment